Udang harimau merupakan spesies udang panaeid yang terbesar dan paling banyak diternak di benua Asia. Purata ukuran panjang keseluruhan spesies ini adalah di antara 18-26 cm dan berat badan boleh mencapai sehingga 60-150g. Secara semulajadi, spesies ini banyak didapati di perairan Taiwan, Filipina, Indonesia, Malaysia, Thailand, Australia, India dan Pantai Timur Afrika Selatan hinggalah ke kepulauan Sunda.
Penternakan udang harimau di Malaysia bermula secara tradisional di negeri Johor pada awal 1930an dengan penggunaan sistem kolam kepungan(traping pond) di mana anak-anak udang yang dibawa masuk ke muara oleh kejadian air pasang, diperangkap dengan pembinaan satu pintu air yang dibuka apabila air pasang dan ditutup semula apabila air mula surut. Dengan kejayaan teknik ternakan larva di pusat penetasan pada tahun 1960-an, sektor-sektor kerajaaan dan swasta telah mula menubuhkan pusat-pusat penetasan pada tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an. ini seterusnya mencerahkan prospek pengeluaran benih secara besar-besaran untuk mengatasi keperluan benih liar yang tidak mencukupi. Dengan ini industri ternakan udang khasnya udang harimau, akan dapat berkembang dengan lebih pesat lagi.